MUNGKIN biasa bagi seseorang untuk mengalami sedu dalam beberapa saat sebelum ia hilang dengan sendirinya tetapi apa yang dialami oleh seorang pelajar, Emily Marsh, 13, agak aneh kerana dia pasti tersedu setiap kali hendak ke sekolah.
Akibat sedu, hidup Emily mula berubah malah keadaan semakin kronik apabila sedu itu tidak berhenti sehingga kini walaupun ketika dia sedang tidur.
Pakar perubatan yang merawatnya juga masih belum menemui cara untuk menyembuhkan penyakit itu.
Gadis itu juga sudah melalui beberapa siri imbasan, X-ray dada, pemeriksaan endoskopi, ujian pernafasan serta kajian gastrik.
Malah, doktor juga memberikan Emily pelbagai jenis ubat bagi mengubati sedu itu tetapi semuanya tidak berhasil. Emily juga mencuba kaedah osteopati dan hipnosis, keputusannya juga gagal.
Dia mencuba pelbagai kaedah tradisional seperti memakan cuka untuk menahan pernafasan selain mencuba rawatan akupuntur tetapi prosedur itu amat memenatkan.
Menurut ibunya, Cathy Barrett, 45, mereka sanggup mencuba segala kaedah perubatan bagi membolehkan anaknya itu kembali normal.
Emily berkata, dia sudah melakukan pelbagai cara untuk menghilangkan sedunya termasuk meminum cuka.
Dia kini sedang dirawat dengan bantuan dua ubat iaitu domperidone, sejenis ubat antiloya dan omeprazole yang digunakan untuk merawat penyakit refluks gastro.
Tambah ibunya, kesemua cara untuk mengubati penyakit sedu kronik anaknya itu tidak menjadi.
Jelasnya, ubat-ubatan yang sering digunakan untuk merawat sedu memberi kesan kepada orang dewasa tetapi ia tidak bersesuaian untuk digunakan kepada kanak-kanak.
Penyakit yang dideritai Emily turut dialami oleh seorang pemuzik, Charles Osborne, yang mengalami penyakit itu selama 68 tahun tetapi hilang dengan sendirinya seperti yang tercatat di dalam Guinness Book of World Records.
Pada tahun 2010, pemuzik itu terpaksa menjalani pembedahan otak akibat masalah itu.
Sementara itu, pakar perunding perubatan Pusat Perubatan Kajang Plaza di Kajang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, sedu berpunca apabila otot diafragma mengecut secara tidak terkawal dan diikuti penutupan peti suara.
Tambahnya, cara untuk mengurangkan sedu ialah dengan menjaga pemakanan serta mengurangkan pengambilan minuman bergas atau alkohol.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz3zBAlPZ44
0 comments:
Post a Comment