Warga Asing tawar seks secara terbuka

KUANTAN – Aktiviti pelacuran dalam kalangan warga asing didakwa giat dijalankan di bandar ini dan beroperasi tanpa mengira waktu, sama ada siang atau malam.

Sinar Harian cuba mendapatkan kepastian mengenai kegiatan itu yang didedahkan seorang pengguna Facebook menerusi statusnya hingga dikongsi di beberapa laman sosial lain.

Tinjauan dan pertemuan dengan beberapa individu selama tiga jam di Jalan Pasar mendapati dakwaan itu berasas apabila kegiatan tidak bermoral membabitkan warga asing itu sememangnya wujud.

Beberapa wanita dilihat duduk di tangga bersebelahan premis perniagaan di sini untuk menunggu pelanggan berusia dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun.

Malah, kelihatan beberapa lelaki yang melalui kawasan itu menghampiri wanita-wanita terbabit sambil menunjukkan isyarat tangan sebagai tanda menawarkan harga bagi perkhidmatan mereka.

Meskipun dipenuhi pengunjung yang datang membeli belah, tiada siapa menghiraukan, malah mungkin ada tidak menyedari aktiviti itu.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 57, mendakwa, kawasan itu sudah lama menjadi sarang pelacuran.

“Saya tidak pasti berapa lama kegiatan ini beroperasi tetapi ia disedari sejak dua bulan lalu apabila gelagat individu dalam keadaan mencurigakan di sekitar premis perniagaan di kawasan terbabit.

“Saya pernah menghampiri kawasan itu dan cuba tawar-menawar harga dengan wanita-wanita di tangga premis di situ dan mereka bersetuju dengan harga saya tetapkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, setiap perkhidmatan ditawarkan berbeza, iaitu sekitar RM30 hingga RM1,000 mengikut perkhidmatan dan wanita yang pelanggan mahukan.

“Kalau pelanggan muda dan baharu harga dikenakan melebihi RM1,000. Jadi semua perkhidmatan akan diberikan berdasarkan permintaan pelanggan.

“Saya banyak dengar cerita daripada kawan-kawan yang pernah langgan dan biasanya mereka akan bersetuju dengan harga ditawarkan.

“Kebiasaannya, setiap kali cuti umum aktiviti ini akan tidak terkawal dan kebanyakan pelanggan yang datang melanggan pelacur ini adalah warga asing,” katanya.

Mat berkata, dia mahu pihak berkuasa membuat pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan terbabit bagi membongkar aktiviti itu.

“Kita tidak mahu bandar Kuantan dicemari dengan aktiviti yang tidak sihat ini dan ia perlu dikawal segera,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Dik, 38, memberitahu aktiviti tidak bermoral itu seolah-oleh tiada kawalan kerana sentiasa ada wanita dan lelaki dilihat memberikan isyarat tangan untuk berjumpa.

Katanya, sepanjang lebih setahun lalu, dia tidak pernah melihat serbuan dilakukan di premis terbabit.

“Mungkin tiada aduan diterima pihak berkuasa, namun Namun apa yang pasti, aktiviti pelacuran di kawasan ini bagaikan pesta yang dipelopori oleh warga asing yang bekerja di sini,” katanya.

Menurutnya, kegiatan tidak bermoral itu dapat dilihat secara terang-terangan.

“Kita boleh dengar dengan jelas perkhidmatan yang mereka tawarkan terutamanya kalau pelanggan baharu. Jika pelanggan lama biasanya mereka hanya menggunakan isyarat tangan bagi menentukan harga.

“Kalau mereka setuju dengan isyarat tangan yang diberikan, wanita berkenaan akan membawa lelaki naik ke premis mereka,” katanya.

1 comments:

  1. PlayAmo Casino Mobile App Download for Android & iOS - JTG Hub
    Download the Android & iOS version of PlayAmo Casino 과천 출장안마 mobile 양산 출장마사지 application. 보령 출장마사지 PlayAmo Casino 경산 출장마사지 App and enjoy it on your 계룡 출장마사지 smartphone or tablet.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news