Jose Salvador Albarengo tiba kembali ke daratan selepas 13 bulan hanyut di lautan

MAJURO, Kepulauan Marshall - Seorang nelayan El Salvador yang terkandas di laut bersyukur kepada Tuhan kerana dia masih hidup sejurus tiba dengan sebuah bot polis di sini semalam setelah dia hanyut di atas bot lebih setahun.

Nelayan berusia 37 tahun itu, Jose Salvador Albarengo berkata, dia minum darah penyu dan menangkap ikan dan memakannya mentah- mentah serta burung dengan tangan kosong untuk terus hidup.

Albarengo memberitahu pemberita akhbar MailOnline, dia juga meminum air kencingnya sendiri kerana ketiadaan air bersih.

Albarengo ditemui dalam keadaan kusut masai dan berambut panjang di sebuah pulau terumbu karang dekat sini pada Khamis lalu. Dia dipercayai hanyut selama 16 bulan.

Dua orang lelaki menemuinya selepas bot Albarengo sepanjang 7.3 meter terdampar di pulau tersebut yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Ebon Atoll.

Dia kemudian dihantar ke sini dengan menaiki sebuah bot polis.

Wajah nelayan itu mirip aktor Tom Hanks yang berjambang semasa dia berlakon dalam filem Cast Away yang ditayangkan pada tahun 2000.

Dalam cerita itu, Hanks yang berlakon sebagai seorang kakitangan syarikat penghantar surat dan bungkusan, terdampar di sebuah pulau di Lautan Pasifik selepas pesawat yang dinaikinya terhempas.

Albarengo memberitahu pihak berkuasa, dia keluar belayar untuk menangkap ikan jerung pada penghujung Disember 2012 dari Mexico yang terletak sekitar 10,000 kilometer dari sini.

Namun, dia dan seorang rakannya yang berusia antara 15 hingga 18 tahun telah dihanyutkan ombak selepas bot yang dinaikinya ditiup angin dan mereka kemudiannya sesat di lautan.

Namun, rakannya itu telah meninggal dunia sebulan selepas mereka hanyut di lautan.

Seorang pembikin filem yang berpangkalan di sini, Jack Nieden- thal memberitahu agensi berita Reuters, Albarengo turun dari bot tersebut dengan mukanya dipenuhi janggut.

"Dia sepatutnya keluar menangkap ikan selama sehari sahaja tetapi dihanyutkan ombak akibat tiupan angin utara," kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke Kepulauan Marshall, Tom Armbruster kepada media.

Nelayan itu memberitahu Armbruster, dia berasal dari El Salvador tetapi telah menetap di Mexico selama 15 tahun.

Nelayan itu tinggal di Tapachula dekat sempadan Mexico dengan Guatemala dan bekerja untuk syarikat Camoronera Dela Costa.

Edidor Marshall Islands Journal, Giff Johnson berkata, semasa ditemui dua orang penduduk, nelayan tersebut hanya memakai sepasang seluar dalam.

Namun, nelayan itu menyatakan, dia tidak dapat mengingati semua kejadian yang berlaku semasa botnya hanyut. - Agensi



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news