Pendaki tertua negara selamat tiba di ibu negara

SEPANG: Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng yang telah menyertai Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016 di Nepal, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, hari ini.

Lee yang bertolak ke Kathmandu, Nepal pada 31 Mac lepas, tiba menerusi penerbangan AirAsia pada 3.44 pagi ini dan disambut oleh pengerusi penganjur, Datuk Javern Lim serta kakitangan Lions. Misi Lee ke puncak Gunung Everest yang dijangka tamat dalam masa 70 hari itu bagaimanapun terpaksa dihentikan pada 19 Mei lepas berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Setakat ini, Lee telah berjaya menamatkan latihan dan penyesuaian dalam tempoh enam minggu dan berjaya mendaki ke Kem Tiga Everest pada ketinggian 7,300 meter dari paras laut dalam suhu - 35 darjah celsius. Beliau memulakan pendakian Lions MEE 'Save Environment and Stay Healthy' itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat dan memperlihatkan semangat 'Malaysia Boleh'.

Menceritakan pengalaman ketika berada di sana, Lee berkata berikutan faktor cuaca, beliau terpaksa mengelak daripada mengambil risiko untuk sampai ke puncak. "Walau sekuat mana pun ketahanan fizikal dan mental seseorang pendaki, mereka tidak boleh melawan cuaca buruk kerana risiko yang tinggi serta pemandangan kabur menyukarkan pendakian saya. "Atas nasihat sherpa, saya terpaksa membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan.

Walaupun sedikit kecewa kerana tidak dapat meneruskan misi ke puncak tetapi saya bersyukur kerana selamat kembali ke tanah air," katanya. Mengenai tahap kesihatan dan kecergasannya, Lee berkata keadaan dirinya masih sihat.

Beliau yang mula mendaki gunung sebagai hobi semasa berusia 40-an, telah mendaki beberapa gunung termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal. - BERNAMA


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news