Mangsa rogol beramai-ramai meninggal

Singapura: Mangsa rogol beramai-ramai dari India yang menerima rawatan intensif di Singapura meninggal dunia akibat kecederaan dan kegagalan fungsi organ, di sebuah hospital di republik ini awal pagi semalam.

“Kami dengan rasa amat dukacita mengumumkan bahawa pesakit meninggal dunia dengan tenang kira-kira jam 4.45 pagi waktu tempatan pada 29 Disember. Keluarga dan pihak berkuasa dari Pesuruhjaya Tinggi India berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth Kelvin Loh, dalam satu kenyataan.

Kes berkenaan mendapat liputan penuh stesen televisyen India. Wanita itu tidak didedahkan identitinya namun beberapa saluran media India menggelarnya sebagai ‘Amana’, perkataan Urdu bermaksud ‘abadi.’

“Kami amat sedih selepas mendapat tahu mangsa tidak dapat diselamatkan akibat kecederaannya dan mengucapkan takziah kepada keluarganya ketika keadaan dukacita ini,” kata Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan.

Hospital berkenaan sebelum ini melaporkan bahawa keadaan wanita itu semakin tenat manakala keluarganya sudah dimaklumkan dan sentiasa berada di sisinya.

Pesuruhjaya Tinggi India Singapura, TCA Raghavan, berkata selepas kematian anak mereka, keluarga itu melahirkan hasrat supaya mayatnya diterbangkan semula ke India.

Tidak lama kemudian mayat wanita pelajar berkenaan dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa pergi.

Bercakap kepada media sebelum itu, Raghavan enggan mengulas laporan di India yang menuduh kerajaan menghantar mangsa ke Singapura untuk meredakan kecaman jika mangsa meninggal dunia.

Kebanyakan kes rogol dan jenayah seks lain di India tidak dilaporkan dan pesalah jarang dihukum, kata aktivis hak asasi wanita. Namun kekejaman serangan 16 Disember lalu mencetuskan kemarahan awam dan gesaan hukuman lebih keras ke atas perogol.

Sebilangan pakar perubatan India pula mempersoalkan keputusan memindahkan mangsa ke Singapura dan menyifatkannya sebagai tindakan berisiko berikutan keadaannya yang kritikal. Mereka berkata mangsa sudah menerima penjagaan terbaik di India. - REUTERS


SUMBER - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news