KUALA LUMPUR, 6 Nov — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) belum memutuskan untuk meletakkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di Parlimen Pekan.
Anwar yang ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini bagaimanapun mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengikuti langkah Abdul Hadi, untuk menyatakan kesediaan bertanding di Parlimen Marang, yang kini milik Abdul Hadi.
“Kami belum membincangkan perkara itu ... Hadi kata beliau akan tunduk kepada keputusan PAS, jadi tunggu keputusan parti.
“Tapi kita ada kekuatan di sana (Pekan), pada tahun 1999, Najib pernah hampir tewas ... jika benar beliau yakin, beliau perlu nytakan kesediaan untuk bertanding di Parlimen Marang,” katanya.
Abdul Hadi sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi turun temurun keluarga Najib dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Hasratnya itu turut disokong oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pemimpin Umno bagaimanapun melihat tindakan Abdul Hadi umpama “membunuh karier politiknya” kerana mereka menjangkakan sekiranya perkara itu berlaku, Abdul Hadi akan mengalami kekalahan yang memalukan.
Najib yang bertanding di Pekan pertama kalinya ketika berusia 24 tahun menang tanpa bertanding selepas kemangkatan bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 1976.
Beliau sebelum ini pernah menerima kemenangan dengan majoriti kecil di Pekan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.
0 comments:
Post a Comment