Pemuda yang dibelasah kes ragut meninggal dunia

Seorang pemuda yang cedera akibat dipukul sekumpulan lelaki minggu lalu kerana disangka terlibat dalam satu kejadian ragut sebelum itu, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani pagi tadi.

Ku Ameerul Arshad Ku Salim, 20, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan sejak kejadian itu Isnin minggu lalu kerana mengalami kecederaan parah di kepala serta koma, meninggal kira-kira 9.40 pagi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Ong Aik Chang berkata lapan lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu telah direman bagi membantu siasatan.

"Empat daripada mereka ditahan sehari selepas kejadian manakala empat lagi ditahan di sekitar bandar Sungai Petani pagi tadi.

"Kes sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan namun selepas kematian mangsa, kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa dikatakan pergi ke rumah rakannya di Taman Ria di sini apabila diserang sekumpulan lelaki.

Menurut bapanya, Ku Salim Ku Long, 58, terdapat lima lagi rakannya di rumah berkenaan semasa kejadian.

"Sewaktu mereka sedang berehat, sekumpulan lelaki datang dan memecahkan pintu rumah sebelum memukul anak saya serta rakan-rakannya yang ada di dalam rumah itu.

"Anak saya sempat melarikan diri namun dia terjatuh ke dalam longkang. Dia kemudiannya dikejar dan dibelasah kumpulan lelaki terbabit," katanya.

-Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news