Segi Tiga Bermuda, juga dikenali sebagai Segi Tiga Syaitan , merupakan kawasan di barat laut Lautan Atlantik di mana sejumlah kapal terbang dan kapal telah hilang dalam apa yang dikatakan sebagai keadaan yang melampaui sempadan kesilapan manusia atau akibat matapetaka semula jadi. Sesetengah kehilangan tersebut telah disabitkan dengan paranormal, penggantungan hukum fizik, atau aktiviti oleh makhluk asing oleh budaya popular. Sungguhpun terdapat banyak dokumen yang menunjukkan kebanyakan kejadian telah disalah lapor atau ditokok tambah oleh pengarang berikutnya, dan kebanyakan agensi rasmi telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa jumlah kehilangan tidak dianggap menonjol menurut anggaran mereka, kebanyakan kehilangan kekal tidak dijelaskan sungguhpun penyiasatan mendalam dilakukan mengenainya.
Sempadan Segi tiga Bermuda berbeza menurut pengarang; sesetengah menyatakan bentuknya menyerupai trapezium menyelitupi Selat Florida, Bahamas, dan keseluruhan pulau Caribbean timur Azores; yang lain menambah Teluk Mexico kepadanya. Sempadan segi tiga yang lebih biasa ditulis dalam buku mempunyai titik sempadannya di pantai Florida Lautan Atlantik; San Juan, Puerto Rico; dan pulau Bermuda tengah Atlantik, dengan kebanyakan kejadian tertumpu kepada sempadan selatan sekitar Bahamas dan Selat Florida.
Kawasan ini merupakan salah satu laluan perkapalan yang tersibuk di dunia, dengan kapal melintasinya setiap hari untuk ke pelabuhan di Amerika, Europah, dan Kepulauan Caribbean. Kapal pelancongan turut banyak tersedia, dan kenderaan rehlah sering berulang-alik antara Florida dan kepulauan tersebut. Ianya turut merupakan laluan yang paling banyak dilalui oleh kapal terbang persendirian mahupun perdagangan yang menghala ke arah Florida, Caribbean, dan Amerika Selatan dari titik utara.
Arus lautan Arus Teluk mengalir melalui Segi tiga Bermuda selepas meninggalkan Teluk Mexico; arusnya sekuat lima hingga enam knot mungkin memainkan peranan dalam beberapa kehilangan. Ribut mengejut mampu dan pernah muncul, dan pada musim panas sehingga akhir musim luruh kadang-kala hurikan menghentam kawasan tersebut. Gabungan antara laluan laut sibuk dengan cuaca tidak menentu menjadikannya tidak mustahil kapal mampu karam dalam ribut dan tenggelam tanpa sebarang kesan – terutama sebelum teknologi komunikasi, radar, dan satelit dipertingkatkan pada akhir abad ke-20.
Para penulis mengenai Segi Tiga banyak menggunakan teori kuasa ghaib untuk menjelaskan perkara yang terjadi. Satu teori menyalahkan peninggalan teknologi dari benua yang hilang iaitu Atlantis. Teori ini dikaitkan dengan batu timbul yang dikenali sebagai Jalan Bimini berdekatan dengan pulau Bimini di Bahamas, yang kebetulan terletak di dalam segi tiga mengikut pendapat sesetengah orang. Pengikut ahli psikik bernama Edgar Cayce mengatakan bukti kewujudan Atlantis ditemui pada tahun 1968 atau 1969 yang merujuk kepada penemuan Jalan Bimini. Mereka percaya kewujudan batu ini sebagai jalan, benteng atau struktur lain, walaupun ahli geologi menganggapnya sebagai satu fenomena semulajadi.
Mereka yang lain pula mengaitkan kehilangan kapal dengan UFO. Idea ini digunakan oleh Steven Spielberg dalam filemnya Close Encounters of the Third Kind yang menggambarkan kehilangan Penerbangan 19 dengan penculikan makhluk asing.
Charles Berlitz, cucu kepada seorang ahli linguistik dan penulis buku fenomena beranomali, berpendapat kehilangan di Segi Tiga disebabkan oleh kuasa ghaib yang tidak dapat dijelaskan.
0 comments:
Post a Comment